Siuman. Maksudnya, tidak gila, yakni kita.
Kita si manusia biasa. Makhluk yang dicipta Allah dan terhalau daripada syurga pada waktu ketika dahulu kerana godaan si syaitan durjana.
Siuman, juga maksudnya sedar diri, mungkin? Sedar kenapa kita di sini. Sedar kenapa nyawa masih terlekat di badan. Sedar akan urusan dunia yang tak akan pernah habis.
Siuman juga buat kita punya perasan sedih bila di sakiti. Siuman juga buat hati kecil cepat tersentuh apabila ada yang buat ia terganggu.
Saya mungkin dulu agak kurang siuman sedikit bila kurang rasa sensitif. Kurang sedar kawan-kawan punya banyak masa untuk komitmen selain berkawan dengan saya. Eh, maaf. Kurang siuman untuk sedar kawan-kawan punya banyak masa untuk komitmen selain berkawan dengan saya.
Maaf, salah saya untuk rasa sedih. Salah saya kerana punya banyak masa untuk bermain-main. Maaf, salah saya menghubungi kamu untuk pergi keluar hilangkan tekanan. Dan, saya cuba menjadi lebih siuman dengan memberikan komitmen saya pada yang sepatutnya. Dan, oh. Ia salah saya, bukan kamu. Tak perlu jelaskan. Saya rasa saya dah siuman untuk faham itu sekarang.
Maaf. Sila benarkan saya rasa sedih buat seketika. Sila benarkan ar mata saya mengalir kerana kamu. Sungguh, saya cuba tahan... Tapi, makin saya tahan makin saya sakit. Biarkan ia mengalir seketika bersama rasa sakit ini. Bersama sifat kurang siuman saya. Temani lena saya malam ini supaya esok hari baru senyuman ikhlas untuk kamu muncul lagi. Ya, akan saya biarkan ia mengalir sendiri. Tisu tidak saya perlukan. Ia pasti kering sendiri dan berganti senyum, InsyaAllah.